Saturday 30 May 2015

Refleksi Program

(Noraizatul Anisa Razali) 

REFLEKSI
PROJEK JALINAN MASYARAKAT 2015
KASIH SAYANG DIJALIN, UKHUWWAH TERPATRI

Tarikh             : 08 – 10 Mei 2015
Hari                 : Jumaat-Ahad
Tempat            : Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan
Sasaran            : 28 orang fasilitator dan 90 orang peserta

            Alhamdulillah. Dalam usaha memenuhi kehendak kursus Jalinan Masyarakat (GXEX1417), Jabatan Syariah dan Pengurusan semester 2 sesi 2014/2015 telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan program khidmat bakti di rumah anak-anak yatim. Sehubungan itu, pada 8 hingga 10 Mei 2015 yang lepas, kami telah menggalas cabaran dengan menganjurkan Projek Jalinan Masyarakat 2015 dengan Kerjasama Lajnah Jabatan Syariah Dan Pengurusan di Kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Projek khidmat bakti ini telah disertai seramai 28 orang fasilitator  dan 90 orang peserta daripada murid tahun 5, 6 dan tingkatan 1 kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.


            Pada hari pertama program iaitu hari Jumaat, program ini telah dimulakan dengan persiapan fasilitator mengumpul segala bahan yang diperlukan untuk cenderahati dan peralatan-peralatan program yang lain di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam, Universiti Malaya pada jam 3 petang. Unit protokol juga telah memberi taklimat kepada semua fasilitator untuk memahami perjalanan program dan mengingatkan mereka dengan tugas masing-masing.


            Pada jam 3.48 petang, semua fasilitator telah menaiki bas dan bertolak ke tempat program. Kami tiba di Darul Kifayah pada jam 4.26 petang dan disambut baik dari pihak Darul Kifayah. Semua fasilitator membantu proses penurunan barang daripada bas dan bergerak ke dewan untuk penyimpanan dan penyusunan barang. Setelah itu, fasilitator menunaikan solat asar secara berjemaah yang diimamkan oleh saudara Izzat Fahmi.


            Pada jam 5 petang, sebahagian fasilitator telah membuat persiapan pendaftaran dan perasmian pembukaan di dewan program. Selepas itu, semua fasilitator mengambil makanan di dewan makan seterusnya menunaikan solat maghrib secara berjemaah di surau. Pada jam 7.30 malam, sesi pendaftaran peserta telah dibuka dan fasilitator yang bertugas telah menyerahkan beg dan fail serta barang amanah kepada para peserta. Kemudian, para fasilitator telah menunaikan solat isya’ secara berjemaah bersama para peserta.


            Tepat jam 9 malam, majlis perasmian pembukaan telah diadakan dan dimulai dengan mengumumkan ketibaan VIP oleh pengerusi majlis iaitu saudara Nadzmin dan saudari Zawani, nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa seterusnya mendengar ucapan daripada wakil darul kifayah iaitu En Hafiz Yasin dan dirasmikan oleh Ketua Jabatan Syariah dan Pengurusan iaitu Dr Suhaili bin Sarif. Majlis ini telah berjalan dengan lancar tanpa tiada sebarang masalah dan gangguan yang tidak dingini.

            Seterusnya, selesai sesi majlis pembukaan perasmian, sesi pengenalan fasilitator telah diadakan tepat jam 10 malam. Sesi ini dilakukan bertujuan untuk beramah mesra bersama para peserta. Pemilihan ketua dan penolong juga telah dilakukan dalam kalangan peserta bagi memudahkan dan melancarkan lagi program yang akan dilakukan. Selepas itu, para peserta telah bersurai dan pulang berehat di kediaman masing-masing tetapi para fasilitator pula telah kembali ke dewan program untuk sesi pre-post moterm untuk hari pertama program.


            Pada hari kedua program, sesi qiamullail telah diadakan tepat jam 5 pagi yang diimamkan oleh saudara Nasaruddin. Antara solat sunat yang dilakukan adalah solat sunat taubat, tahajjud, hajat dan witir. Pada jam 6 pagi pula, solat Subuh telah ditunaikan secara berjemaah yang dimamkan oleh saudara Nik Aqil. Kemudian, pada jam 6.30 pagi, sesi kuliah subuh telah disampaikan oleh saudara Ahmad Mustaqim yang bertajuk ‘Nikmat dan Syukur’.  

Sesi Icebreaking (ikat kaki)

Sesi game puzzle

            Selepas sarapan pagi, sesi senamrobik telah dilakukan di dalam dewan yang diketuai oleh saudara Nadzmin. Pelbagai senaman dan pergerakan yang menarik telah dilakukan bersama para peserta. Kemudian sesi ice breaking dan aktiviti dalam kumpulan (ldk) iaitu game puzzle telah diadakan  pada jam 9 pagi. Sebanyak 10 kumpulan dan seramai 9 orang setiap kumpulan telah dibentuk dan dikendalikan seramai 28 orang failitator. Lagu tema juga iaitu lagu Realti Insan telah dinyanyikan semasa sesi ini berlangsung.



            Dalam masa yang sama, beberapa orang fasilitator yang diketuai oleh saudari Shafikah telah membuat mural. Tema mural ini adalah “Amanah, Tanggungjawab dan Disiplin”. Mural ini dapat disiapkan hanya dalam dua hari sahaja. Alhamdulillah pihak Darul Kifayah berpuas hati dan mendapat pujian dengan hasil kerja mereka.


            Pada jam 12.30 tengahari, para peserta dan fasiliator telah dihidangkan jamuan makanan tengahari dan berehat seketika. Kemudian, pada jam 1.30 petang, saudara Rusydi telah mengimankan solat Zohor di surau. Tepat jam 2 petang pula, para peserta dan fasilitator telah kembali ke dewan untuk sesi ldk yang berikutnya iaitu aktiviti Team Building (paku). Aktiviti ini telah dikendalikan oleh saudari Najihah dan saudari Aiza. Aktiviti ini juga telah berjalan secara santai dan para peserta amat mengemari aktiviti ini dan menerima respon yang baik dari para peserta.


            Pada jam 3.15 petang, pensyarah penasihat kami iaitu Dr Fadillah telah hadir bagi memantau pergerakan program ini. Kemudian, aktiviti ldk juga telah diteruskan lagi dengan aktiviti pergerakan dan nyanian. Tepat jam 5 petang, saudari Solehah dan saudari Athirah telah mengendalikan sesi ldk yang bertajuk “game aku ada kau ada?”. Permainan ini dilakukan bertujuan untuk menguji kerjasama antara peserta serta kebolehan masing-masing untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Peserta dibahagikan kepada tiga peranan iaitu si buta, si bisu dan si kudung. Si buta akan melukis mengikut pemahamannya apabila mendengar perkataan yang disebutkan oleh fasi. Si bisu akan menterjemahkan lukisan tersebut dan menyampaikannya kepada si kudung. Kumpulan dengan jawapan yang tepat dianggap berjaya.


Selepas selesai solat Maghrib secara berjemaah di surau, para peserta telah bergerak ke dewan untuk aktiviti berikutnya. Saudara Rusydi telah menayangkan video berkenaan dengan Sultan Muhammad Al-Fateh. Tujuan video ini adalah bertujuan melatih para peserta cara-cara merancang, melaksana, memimpin, bekerjasama dan mengambil  peranan secara aktif dalam kumpulan. Para peserta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap video yang ditayangkan. Setelah itu, kami melakukan solat isya yang diimamkan oleh saudara Kamarul Akmal.


            Aktiviti berikutnya adalah aktiviti ldk yang bertajuk Hajarul Aswad yang diadakan pada jam 9 malam di luar dewan program. Diadaptasi daripada kerjasama ketua kabilah-kabilah Mekah bersama-sama membawa hajarul aswad, permainan ini menuntut kerjasama peserta untuk bergerak dalam kumpulan sambil membawa sebatang lilin yang menyala di atas selembar kertas mahjung. Peserta perlu mengelakkan kertas terbakar dan lilin terpadam. Permainan ini telah diketuai oleh saudara Zahid dan saudari Syahmi. Disebabkan permainan ini melibatkan api, para fasilitator telah mengawasi para peserta dengan penuh pengawasan agar tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak dingini. Namun demikian, para peserta amat menyukai permainan yang dilakukan ini.

            Selepas itu, biro makanan telah menyediakan supper kepada semua peserta dan juga fasilitator. Selepas itu, para peserta telah bersurai dan pulang berehat di kediaman masing-masing tetapi para fasilitator pula telah kembali ke dewan program untuk sesi pre-post moterm yang kedua untuk hari kedua program.


            Pada hari ketiga iaitu hari terakhir program, solat subuh telah diadakan di surau pada jam 6 pagi. Selepas menunaikan solat subuh, sesi Kuliah Subuh pula telah diadakan oleh saudara Kamarul Akmal yang bertajuk “Istighfar dan Taubat”. Selepas itu, peserta bersarapan di dewan makan.


            Pada jam 8.30 pagi, solat dhuha telah diadakan di surau. Setelah itu, saudari Athirah dan saudari Solehah telah melakukan ldk yang seterusnya iaitu permainan “Ya, Tidak atau Berkecuali. Cara permainan ini adalah fasi menanyakan soalan yang berkaitan kehidupan seharian peserta dan meminta agar mereka memilih jawapan sama ada ya, tidak atau berkecuali. Moderator memanggil peserta secara rawak dan bertanyakan alasan mereka memilih jawapan masing-masing. Moderator mengulas dan memberitahu nilai-nilai serta tindakan yang wajar dilakukan untuk setiap soalan.


            Tepat jam 12 tengahari, majlis perasmian penutup telah diadakan dan dimulai dengan mengumumkan ketibaan VIP oleh pengerusi majlis iaitu saudara Nadzmin dan saudari Zawani, nyanyian lagu Negaraku, bacaan doa seterusnya mendengar ucapan daripada wakil darul kifayah iaitu Pn Laila dan dirasmikan oleh Pensyarah Penasihat Kursus program ini iaitu Dr Fadillah Binti Mansor. Selepas itu, sesi penyerahan cenderamata telah diberikan kepada setiap kumpulan mengikut kategori yang telah ditetapkan. Tayangan multimedia juga telah diadakan selama 10 minit dan diteruskan dengan persembahan daripada semua fasilitator dan diakhiri dengan sesi fotografi. Majlis perasmian ini telah berjalan dengan lancar tanpa tiada sebarang masalah dan gangguan.


            Selepas selesai majlis perasmian, para peserta berpeluang bersalam-salaman dengan para fasilitator ketika majlis perpisahan. Para fasilitator juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan selamat tinggal dan memberi nasihat dan amanat serta kata-kata semangat terakhir kepada para peserta sebelum meninggalkan tempat program ini. Para peserta juga diminta untuk mengisi borang penilaian program ini untuk menilai dan memberi ulasan dan pandangan terhadap setiap program dan aktiviti yang telah dijalankan sepanjang tiga hari.

            Pada jam 1.30 petang, biro pengangkutan telah mengingatkan fasilitator untuk bersedia lebih awal sebelum waktu ketibaan bas dan biro protokol meminta kepada semua fasilitator untuk melakukan semakan barang-barang yang perlu dibawa pulang dalam senarai semak yang disedakan. Para fasilitator juga sempat mengadakan gotong-royong membersihkan kawasan dewan sebelum pulang. Kemudian, kami menunaikan solat Zohor secara berjemaah di surau.

            Sehubungan itu, pada jam 4.30 petang, semua fasilitator bersedia dan bekerjasama membantu antara satu sama lain ketika proses memasukkan semua barang ke dalam bas. Pada jam 5 petang, kami tiba di Universiti Malaya. Para fasilitator berpuas hati dengan program yang telah dijalankan.



Secara keseluruhan, program ini telah mendapat penyertaan penuh oleh para fasilitator dan mencapai objektif seperti yang telah disasarkan secara tidak langsung impak dan kesan yang positif dalam mencapai matlamat memberi khidmat bakti kepada masyarakat dan negara bagi tujuan melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang patriotik, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara.  Jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.

1 comment:

pykah razak said...

aiza punya lagi detaill bestnyaaa..t.kasih aiza

 

Template by BloggerCandy.com | Header Image by Freepik