(Noraizatul Anisa Razali)
REFLEKSI
PROJEK JALINAN MASYARAKAT 2015
KASIH SAYANG DIJALIN, UKHUWWAH TERPATRI
Tarikh :
08 – 10 Mei 2015
Hari :
Jumaat-Ahad
Tempat : Darul Kifayah, Majlis Agama Islam
Wilayah Persekutuan
Sasaran : 28 orang fasilitator dan 90 orang
peserta
Alhamdulillah. Dalam usaha memenuhi kehendak kursus Jalinan Masyarakat (GXEX1417), Jabatan Syariah
dan Pengurusan semester 2 sesi 2014/2015 telah mengambil
inisiatif untuk melaksanakan program khidmat
bakti di rumah anak-anak yatim. Sehubungan itu, pada 8 hingga 10 Mei 2015 yang
lepas, kami telah menggalas cabaran dengan menganjurkan Projek Jalinan
Masyarakat 2015 dengan Kerjasama Lajnah Jabatan Syariah Dan Pengurusan di
Kompleks Darul
Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan. Projek khidmat bakti ini telah disertai seramai 28 orang
fasilitator dan 90 orang peserta daripada murid tahun 5,
6 dan tingkatan 1 kompleks Darul Kifayah, Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan.
Pada hari pertama program iaitu hari
Jumaat, program ini telah dimulakan dengan persiapan fasilitator mengumpul
segala bahan yang diperlukan untuk cenderahati dan peralatan-peralatan program
yang lain di Jabatan Syariah dan Pengurusan, Akademi Pengajian Islam,
Universiti Malaya pada jam 3 petang. Unit protokol juga telah memberi taklimat
kepada semua fasilitator untuk memahami perjalanan program dan mengingatkan
mereka dengan tugas masing-masing.
Pada jam 3.48 petang, semua
fasilitator telah menaiki bas dan bertolak ke tempat program. Kami tiba di Darul
Kifayah pada jam 4.26 petang dan disambut baik dari pihak Darul Kifayah. Semua
fasilitator membantu proses penurunan barang daripada bas dan bergerak ke dewan
untuk penyimpanan dan penyusunan barang. Setelah itu, fasilitator menunaikan
solat asar secara berjemaah yang diimamkan oleh saudara Izzat Fahmi.
Pada jam 5 petang, sebahagian
fasilitator telah membuat persiapan pendaftaran dan perasmian pembukaan di
dewan program. Selepas itu, semua fasilitator mengambil makanan di dewan makan
seterusnya menunaikan solat maghrib secara berjemaah di surau. Pada jam 7.30
malam, sesi pendaftaran peserta telah dibuka dan fasilitator yang bertugas
telah menyerahkan beg dan fail serta barang amanah kepada para peserta.
Kemudian, para fasilitator telah menunaikan solat isya’ secara berjemaah
bersama para peserta.
Tepat jam 9 malam, majlis perasmian
pembukaan telah diadakan dan dimulai dengan mengumumkan ketibaan VIP oleh
pengerusi majlis iaitu saudara Nadzmin dan saudari Zawani, nyanyian lagu
Negaraku, bacaan doa seterusnya mendengar ucapan daripada wakil darul kifayah
iaitu En Hafiz Yasin dan dirasmikan oleh Ketua Jabatan Syariah dan Pengurusan
iaitu Dr Suhaili bin Sarif. Majlis ini telah berjalan dengan lancar tanpa tiada
sebarang masalah dan gangguan yang tidak dingini.
Seterusnya, selesai sesi majlis
pembukaan perasmian, sesi pengenalan fasilitator telah diadakan tepat jam 10
malam. Sesi ini dilakukan bertujuan untuk beramah mesra bersama para peserta. Pemilihan
ketua dan penolong juga telah dilakukan dalam kalangan peserta bagi memudahkan
dan melancarkan lagi program yang akan dilakukan. Selepas itu, para peserta
telah bersurai dan pulang berehat di kediaman masing-masing tetapi para fasilitator
pula telah kembali ke dewan program untuk sesi pre-post moterm untuk
hari pertama program.
Pada hari kedua program, sesi
qiamullail telah diadakan tepat jam 5 pagi yang diimamkan oleh saudara
Nasaruddin. Antara solat sunat yang dilakukan adalah solat sunat taubat,
tahajjud, hajat dan witir. Pada jam 6 pagi pula, solat Subuh telah ditunaikan
secara berjemaah yang dimamkan oleh saudara Nik Aqil. Kemudian, pada jam 6.30
pagi, sesi kuliah subuh telah disampaikan oleh saudara Ahmad Mustaqim yang
bertajuk ‘Nikmat dan Syukur’.
Sesi Icebreaking (ikat kaki)
Sesi game puzzle
Selepas sarapan pagi, sesi
senamrobik telah dilakukan di dalam dewan yang diketuai oleh saudara Nadzmin.
Pelbagai senaman dan pergerakan yang menarik telah dilakukan bersama para
peserta. Kemudian sesi ice breaking dan aktiviti dalam kumpulan (ldk) iaitu
game puzzle telah diadakan pada
jam 9 pagi. Sebanyak 10 kumpulan dan seramai 9 orang setiap kumpulan telah
dibentuk dan dikendalikan seramai 28 orang failitator. Lagu tema juga iaitu
lagu Realti Insan telah dinyanyikan semasa sesi ini berlangsung.
Dalam masa yang sama, beberapa orang
fasilitator yang diketuai oleh saudari Shafikah telah membuat mural. Tema mural
ini adalah “Amanah, Tanggungjawab dan Disiplin”. Mural ini dapat disiapkan
hanya dalam dua hari sahaja. Alhamdulillah pihak Darul Kifayah berpuas hati dan
mendapat pujian dengan hasil kerja mereka.
Pada jam 12.30 tengahari, para
peserta dan fasiliator telah dihidangkan jamuan makanan tengahari dan berehat
seketika. Kemudian, pada jam 1.30 petang, saudara Rusydi telah mengimankan
solat Zohor di surau. Tepat jam 2 petang pula, para peserta dan fasilitator
telah kembali ke dewan untuk sesi ldk yang berikutnya iaitu aktiviti Team
Building (paku). Aktiviti ini telah dikendalikan oleh saudari Najihah dan
saudari Aiza. Aktiviti ini juga telah berjalan secara santai dan para peserta
amat mengemari aktiviti ini dan menerima respon yang baik dari para peserta.
Pada jam 3.15 petang, pensyarah
penasihat kami iaitu Dr Fadillah telah hadir bagi memantau pergerakan program
ini. Kemudian, aktiviti ldk juga telah diteruskan lagi dengan aktiviti
pergerakan dan nyanian. Tepat jam 5 petang, saudari Solehah dan saudari Athirah
telah mengendalikan sesi ldk yang bertajuk “game aku ada kau ada?”.
Permainan ini dilakukan bertujuan untuk menguji kerjasama antara peserta serta
kebolehan masing-masing untuk berfikir secara kritis dan kreatif. Peserta
dibahagikan kepada tiga peranan iaitu si buta, si bisu dan si kudung. Si buta
akan melukis mengikut pemahamannya apabila mendengar perkataan yang disebutkan
oleh fasi. Si bisu akan menterjemahkan lukisan tersebut dan menyampaikannya
kepada si kudung. Kumpulan dengan jawapan yang tepat dianggap berjaya.
Selepas selesai
solat Maghrib secara berjemaah di surau, para peserta telah bergerak ke dewan untuk
aktiviti berikutnya. Saudara Rusydi telah menayangkan video berkenaan dengan
Sultan Muhammad Al-Fateh. Tujuan video ini adalah bertujuan melatih para
peserta cara-cara merancang, melaksana, memimpin, bekerjasama dan
mengambil peranan secara aktif dalam
kumpulan. Para peserta memberi tumpuan sepenuhnya terhadap video yang
ditayangkan. Setelah itu, kami melakukan solat isya yang diimamkan oleh saudara
Kamarul Akmal.
Aktiviti berikutnya adalah aktiviti
ldk yang bertajuk Hajarul Aswad yang diadakan pada jam 9 malam di luar dewan program.
Diadaptasi daripada kerjasama ketua kabilah-kabilah Mekah bersama-sama membawa
hajarul aswad, permainan ini menuntut kerjasama peserta untuk bergerak dalam
kumpulan sambil membawa sebatang lilin yang menyala di atas selembar kertas
mahjung. Peserta perlu mengelakkan kertas terbakar dan lilin terpadam. Permainan
ini telah diketuai oleh saudara Zahid dan saudari Syahmi. Disebabkan permainan
ini melibatkan api, para fasilitator telah mengawasi para peserta dengan penuh
pengawasan agar tidak berlaku apa-apa perkara yang tidak dingini. Namun
demikian, para peserta amat menyukai permainan yang dilakukan ini.
Selepas itu, biro makanan telah
menyediakan supper kepada semua peserta dan juga fasilitator. Selepas
itu, para peserta telah bersurai dan pulang berehat di kediaman masing-masing
tetapi para fasilitator pula telah kembali ke dewan program untuk sesi pre-post
moterm yang kedua untuk hari kedua program.
Pada hari ketiga iaitu hari terakhir
program, solat subuh telah diadakan di surau pada jam 6 pagi. Selepas menunaikan solat subuh, sesi Kuliah Subuh pula
telah diadakan oleh saudara Kamarul Akmal yang bertajuk “Istighfar dan Taubat”.
Selepas itu, peserta bersarapan di dewan makan.
Pada jam 8.30 pagi, solat dhuha
telah diadakan di surau. Setelah itu, saudari Athirah dan saudari Solehah telah
melakukan ldk yang seterusnya iaitu permainan “Ya, Tidak atau Berkecuali”.
Cara permainan ini adalah fasi menanyakan soalan yang berkaitan kehidupan
seharian peserta dan meminta agar mereka memilih jawapan sama ada ya, tidak
atau berkecuali. Moderator memanggil peserta secara rawak dan bertanyakan
alasan mereka memilih jawapan masing-masing. Moderator mengulas dan memberitahu
nilai-nilai serta tindakan yang wajar dilakukan untuk setiap soalan.
Tepat jam 12 tengahari, majlis
perasmian penutup telah diadakan dan dimulai dengan mengumumkan ketibaan VIP
oleh pengerusi majlis iaitu saudara Nadzmin dan saudari Zawani, nyanyian lagu
Negaraku, bacaan doa seterusnya mendengar ucapan daripada wakil darul kifayah
iaitu Pn Laila dan dirasmikan oleh Pensyarah Penasihat Kursus program ini iaitu
Dr Fadillah Binti Mansor. Selepas itu, sesi penyerahan cenderamata telah
diberikan kepada setiap kumpulan mengikut kategori yang telah ditetapkan.
Tayangan multimedia juga telah diadakan selama 10 minit dan diteruskan dengan
persembahan daripada semua fasilitator dan diakhiri dengan sesi fotografi.
Majlis perasmian ini telah berjalan dengan lancar tanpa tiada sebarang masalah
dan gangguan.
Selepas selesai majlis perasmian,
para peserta berpeluang bersalam-salaman dengan para fasilitator ketika majlis
perpisahan. Para fasilitator juga mengambil peluang ini untuk mengucapkan
selamat tinggal dan memberi nasihat dan amanat serta kata-kata semangat
terakhir kepada para peserta sebelum meninggalkan tempat program ini. Para
peserta juga diminta untuk mengisi borang penilaian program ini untuk menilai
dan memberi ulasan dan pandangan terhadap setiap program dan aktiviti yang telah
dijalankan sepanjang tiga hari.
Pada jam 1.30 petang, biro
pengangkutan telah mengingatkan fasilitator untuk bersedia lebih awal sebelum waktu
ketibaan bas dan biro protokol meminta kepada semua fasilitator untuk melakukan
semakan barang-barang yang perlu dibawa pulang dalam senarai semak yang
disedakan. Para fasilitator juga sempat mengadakan gotong-royong membersihkan
kawasan dewan sebelum pulang. Kemudian, kami menunaikan solat Zohor secara
berjemaah di surau.
Sehubungan itu, pada jam 4.30
petang, semua fasilitator bersedia dan bekerjasama membantu antara satu sama
lain ketika proses memasukkan semua barang ke dalam bas. Pada jam 5 petang,
kami tiba di Universiti Malaya. Para fasilitator berpuas hati dengan program
yang telah dijalankan.
Secara
keseluruhan, program ini telah mendapat penyertaan penuh oleh para fasilitator
dan mencapai objektif seperti yang telah disasarkan secara tidak langsung impak
dan kesan yang positif dalam mencapai matlamat memberi khidmat bakti kepada
masyarakat dan negara bagi tujuan melahirkan mahasiswa dan mahasiswi yang
patriotik, prihatin dan bertanggungjawab terhadap masyarakat dan negara. Jutaan terima kasih dan setinggi-tinggi penghargaan saya ucapkan kepada semua yang terlibat sama ada secara langsung mahupun tidak langsung.